PROMOSI GRAND OPENING: #KUNDASANG - #KOTAKINABALU 4 HARI 3 MALAM
Kami menerima sambutan menggalakkan daripada sahabat-sahabat tentang pakej pelancongan ke negeri di bawah bayu, Sabah, khususnya pakej 4 hari 3 malam Kota Kinabalu - Kundasang. Alhamdulillah, terima kasih atas sambutan dan minat anda untuk mengembara bersama Isyraq Travel & Tours.
Pakej 4 Hari 3 Malam Kota Kinabalu - Kundasang.
Hari & Malam Pertama
Untuk pakej menarik ini, dengan lafaz basmalah & doa, kami memulakan perjalanan ini dengan berkumpul di KLIA sebelum bertolak ke Kota Kinabalu. Perjalanan ke sana dianggarkan mengambil masa selama 3 jam. Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), kita akan terus menuju ke Kundasang yang mengambil masa sekitar 2 jam perjalanan.
Dalam perjalanan menuju ke Kundasang, kita akan singgah di Rumah Terbalik (Upside-Down House) di Tamparuli, Tuaran. Rumah Terbalik ini selain memiliki Muzium 3D yang unik, ianya merupakan antara tarikan terbaru pelancongan di Sabah, ianya memiliki keunikan tersendiri tentang binaan tradisi rumah kampung orang Bajau - Sino, antara etnik terbesar di negeri itu. Etnik ini sudah tentu memiliki keunikan budaya yang menarik untuk kita kenali nanti!
Kita juga akan menunaikan solat jama' qasar dalam perjalanan ini di masjid berhampiran. Jika berkesempatan, kita mungkin akan singgah sebentar di Jambatan Gantung Tamparuli yang terkenal. Terletak dalam perjalanan kita menuju Kundasang, mungkin ramai yang tidak tahu kisah menarik di sebalik jambatan tradisi kebanggaan rakyat Sabah itu...
Sebelum tiba di Kundasang, kita juga akan singgah di pekan Nabalu yang menjadi pusat kraftangan penduduk setempat. Tiba di pekan Kundasang kemudiannya, kita akan melawat War Memorial Park atau Taman Tugu Peringatan Perang. Mungkin ramai yang ingin menyelami kisah menarik yang terdapat di War Memorial Park di tengah Pekan Kundasang ini? Akan kita telusuri sejarah itu nanti...
Mengenali pekan Kundasang, ia merupakan sebuah pekan kecil yang paling hampir dengan mercu tertinggi negara, Gunung Kinabalu, yang menjadi kemegahan bumi di bawah bayu. Berlatar belakangkan pemandangan gunung-ganang yang memukau, Kundasang dihuni oleh beberapa suku kaum seperti etnik Dusun, Sungai, Bajau, Sino, Melayu, Cina, Bugis, Tator, Timor serta masyarakat Jawa, yang hidup aman dalam suasana muhibbah dan muafakat.
Setelah berkenalan dengan daerah Kundasang, kita akan mendaftar masuk untuk menginap sebelum keluar semula untuk menikmati makan malam. Kenyang menjamu selera "ala-Kundasang", kita akan pulang semula ke tempat menginap untuk berehat dan merasai sendiri kedinginan malam di daerah yang terletak di kaki Kinabalu itu. Jangan lupa bawa baju sejuk!
Hari & Malam Kedua
Memulakan hari dengan solat subuh, kita berdoa kepada Allah semoga perjalanan untuk hari kedua ini sentiasa berada di dalam keredhaanNya. Menghirup udara pagi di Kundasang, kita akan menuju ke Desa Dairy Cattle Farm, sebuah ladang ternak lembu yang mendapat jolokan "Malaysian's New Zealand". Nak tahu kenapa ia mendapat jolokan itu, jom kita alami sendiri suasananya. Jangan lupa rakam diri anda di sini, rasa sendiri produknya dan bawa balik sebagai cenderhati kenangan...
Selesai berada di "Malaysian's New Zealand", kita daki pula kaki Gunung Kinabalu. InsyaAllah, tidak berpeluh dan tidak memenatkan anda. Kita akan ke Timpohon Gate, pintu utama untuk para pendaki gunung memulakan pendakian mereka ke puncak tertinggi negara. Saksikan sendiri puncak Kinabalu di depan mata anda. Walaupun hanya berada di kaki gunung, kami yakin kita semua akan terpukau dengan ciptaan Allah yang memasak bumi Sabah ini!
Dalam kedinginan bumi Kundasang, jangan tak tahu bahawa di sini juga terdapat kolam air panas atau Poring Hot Spring yang terletak di Ranau, daerah bersebelahan dengan Kundasang. Jika penat "mendaki" Kinabalu, rendam dan legakan kaki anda di sini.
Di samping itu, kita juga boleh berjalan di Canopy Walk yang terletak bersebelahan dengan kolam air panas ini sambil menikmati keindahan flora dan fauna ciptaan Allah. Tapi pastikan anda tidak "gayat" atau takut pada ketinggiannya yang mencecah kira-kira 43 meter dari aras bumi. Jom berjalan sejauh di Canopy Walk ini, hanya 175 meter saja jaraknya.. mesti best!
Sebelum kita makan tengahari, kita manjakan lagi kaki kita di Fish Spa Massage. Terletak di Kampung Luanti, "tagal" di Sungai Moroli ini menjanjikan keunikannya yang tersendiri. Apakah yang dimaksudkan dengan "tagal"? Bagaimana pula orang Kampung Luanti berjaya memastikan ikan "pelian" berkampung di situ dan begitu jinak dengan para pelancong? InsyaAllah, kita akan alami pengalaman menarik bersama ikan-ikan di sini...
Selepas itu, kita akan menikmati juadah tengahari dan meneruskan langkah ke Sabah Tea Garden, lokasi yang menjadi satu kemestian jika berkunjung ke Ranau. Sambil menghirup teh di puncak ladang, kita saksikan kehijauan ladang teh yang terbentang luas sekitar Bukit Kamunsu ini. Nikmatnya pasti terasa...
Turun dari Sabah Tea Garden, kita akan ke Kampung Arnab atau Arnab Village. Kita akan merasa seolah-olah berada di perkampungan arnab yang jinak. Besar sungguh hikmah Allah yang menjadikan makhluk bertelinga panjang yang cukup comel ini, melompat-lompat riang di sekitar kita. Anak-anak pasti suka...
Habis bermesra dengan arnab-arnab comel, kita akan bergerak semula ke Kota Kinabalu. Namun dalam perjalanan pulang ini, kita akan singgah sebentar di gerai sayur-sayuran dan buah-buahan di Kundasang. Nikmati produk segar "made in Kundasang" sebelum meninggalkan daerah menarik ini...
Setibanya di Kota Kinabalu, kita akan makan malam di sana. Setelah kenyang menjamu selera, kita akan pulang berehat di bilik penginapan sebelum memulakan perjalanan hari ketiga, suatu yang menarik menanti anda keesokan harinya!
Hari & Malam Ketiga
Selesai solat subuh dan sarapan pagi, kita akan menyambung perjalanan di bumi Sabah dengan menerokai taman-taman lautnya. Menuju ke Jesselton Point, sebuah jeti yang menjadi pusat pengangkutan air utama di Kota Kinabalu, khususnya untuk ke Taman Tunku Abdul Rahman yang merupakan taman laut terkenal di serata dunia.
Pagi itu, kita akan menaiki bot dari Jesselton Point ke Pulau Manukan, salah sebuah pulau tercantik di taman laut itu. Mengambil masa kira-kira 20 minit perjalanan, kita akan menikmati keindahan hidupan laut sambil bersantai bermandi-manda. Lebih menarik, kita juga akan melakukan aktiviti snorkeling! Saksikan warna-warni hidupan laut di persisir pantai Sabah yang menakjubkan!
Puas di Pulau Manukan, kita ke Pulau Sapi pula. Kita akan berkelah makan tengahari di situ dan sambung semula agenda mandi-manda kita sepuas-puasnya. Jangan lupa aktiviti snorkeling di Pulau Sapi yang jernih airnya kerana ia merupakan antara pulau paling indah di Sabah.
Puas menerokai alam hidupan laut di Pulau Sapi, kita akan bergerak pulang ke Jesselton Point dan terus ke bilik penginapan untuk berehat. Selepas maghrib, kita akan bersama lagi menikmati makan malam...
Antara hidangan yang popular di Sabah sudah tentulah makanan lautnya yang menarik! Nikmatilah malam terakhir kita di bumi di bawah bayu ini sepuas-puasnya kerana kita akan pulang pada keesokan harinya...
Hari Keempat (terakhir)
Selesai bersarapan, kita akan mendaftar keluar dari bilik penginapan. Memandangkan hari ini merupakan langkah akhir kunjungan kita ke negeri di bawah bayu kali ini, kita diberikan pilihan untuk memilih lokasi membeli belah barangan tempatan dan cenderahati untuk dibawa pulang bersama sebagai tanda kenangan.
Kita boleh memilih untuk ke Pasar Budaya atau turut dikenali sebagai Kota Kinabalu Central Market atau ke Sinsuran. Pasar Budaya merupakan pusat yang memasarkan barangan kraftangan etnik Sabah, keropok dan makanan laut tempatan, serta cenderahati yang unik. Sementara itu, Sinsuran pula merupakan lokasi membeli belah variasi produk tekstil, koleksi mutiara Sabah yang bermutu tinggi dan barangan muslimah.
Puas membeli belah, kita akan meneruskan langkah perjalanan kita ke Signal Hill Observatory Platform, lokasi tinjau yang akan menghidangkan pemandangan Bandaraya Kota Kinabalu dari sebuah menara khas.
Malah jika masa mengizinkan, kita juga akan ke Bukit Kokol yang turut menyajikan pemandangan indah sekitar Bandaraya Kota Kinabalu ini sebelum kita ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk pulang ke Semenanjung tanahair...
Walaupun perjalanan kita di negeri di bawah bayu akan berakhir di sini, namun perjalanan ini bukan sekadar biasa-biasa. Perjalanan kali ini penuh dengan pengisian, keriangan dan pengalaman yang akan memberikan nostalgia yang akan dikenang selamanya.
InsyaAllah, perjalanan kita di negeri Sabah tidak akan berakhir di sini. Kami, Isyraq Travel & Tours turut menawarkan pakej-pakej lain untuk kita terus menerokai lokasi-lokasi menarik yang terdapat di negeri di bawah bayu ini.
Untuk tempahan dan pertanyaan lanjut, sila hubungi:
Comments
Post a Comment